fbpx

Penjual mercun senyum lebar, kaut untung musim raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAI individu mengambil kesempatan berniaga mercun terutama pada musim perayaan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

PETALING JAYA – Mampu meraih keuntungan sehingga lima kali ganda menyebabkan penjual mercun dan bunga api sanggup mengambil risiko ditangkap pihak berkuasa semata-mata untuk mengautkan keuntungan lumayan tempoh singkat.

Ditambah dengan kebebasan orang ramai menyambut Hari Raya pada tahun ini, kewujudan premis-premis menjual mercun terutamanya di tepi-tepi jalan semakin bertambah ibarat cen­dawan tumbuh selepas hujan.

Seorang penjual mercun dikenali Hafiz, 34, berkata, dia sudah terlibat dalam bisnes berkenaan sejak 10 tahun lalu dan musim perayaan sentiasa memberi durian runtuh kepada mereka untuk mendapatkan keuntungan.

“Hampir 10 tahun saya jadi tauke mercun. Sepanjang saya berniaga, saya mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit atau lima kali ganda daripada modal.

“Sejak dua tahun lalu, penjualan mercun merudum teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tahun ini, jualan kami mendapat sambutan.

“Permintaan mercun di musim perayaan sangat tinggi, jadi saya mengambil kesempatan untuk mencari lebih banyak keuntu­ngan,” katanya ketika ditemui Kos­mo! baru-baru ini.

Tambahnya, dia mendapatkan bekalan mercun daripada rakannya di sekitar ibu negara, namun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai proses mendapatkan bekalan tersebut.

“Kalau nak diikutkan, memang saya takut menjual mercun dan bunga api, namun memikirkan keuntungan yang boleh diraih sehingga berlipat kali ganda, membuatkan saya menjualnya.

“Lagipun, modal diperlukan juga tidaklah sebanyak, hanya sekitar RM500 hingga ke RM700.

“Saya juga akan mengambil tempahan terlebih dahulu sebelum sebarang pembayaran dilakukan. Apa yang pasti, saya mampu meraih keuntungan lebih RM2,000 dengan modal seba­nyak RM500,” jelasnya.

Hafiz turut memberitahu, mercun yang sering menjadi sasaran pembeli ialah jenis ‘ba­teri’ yang dijual sekitar RM80.

Menurut seorang lagi penjual mercun yang mahu dikenali sebagai Yaakob, 27, dia hanya menjual secara dalam talian bagi memudahkan urus niaga dan sudah melakukannya hampir 5 tahun.

“Setiap tahun saya mengeluar­kan modal sebanyak RM1,000 dan mampu meraih keuntungan bersih lebih RM5,000. Saya juga hanya menjual secara dalam talian dan akan menghantar sendiri kepada pelanggan yang betul-betul berminat.

“Urus niaga menerusi dalam talian juga lebih mudah dan murah. Saya tidak perlu bayar sewa tapak atau kedai selain hanya mendapatkan tempahan berserta bayaran awal,” katanya.

Yaakob berkata, dia enggan mendedahkan individu yang membekalkan bahan berkenaan, namun mengakui stok diperoleh dari seorang rakan di Kedah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI