GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut mengesan berlakunya peningkatan kes-kes penipuan pembelian durian secara online menjelang musim raja buah berkenaan di negeri ini.
Justeru, Polis Daerah Timur Laut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak memuat turun aplikasi D4 Durian untuk membeli durian.
”Modus operandi penipuan pembelian durian ini dijalankan selepas mangsa melihat iklan penjualan durian dengan harga murah dalam aplikasi Facebook, Instagram dan lain-lain.
”Kemudian suspek berurusan terus dengan mangsa menggunakan Whatsapp dan diarahkan menekan pada link yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan itu berkata, apabila mangsa menekan pada pautan yang diberikan, ia akan membawa mangsa ke halaman yang menyerupai transaksi FPX.
“Sebaik sahaja mangsa memasukkan nama pengguna (username) dan kata laluan (password), sistem pembayaran tersebut akan tergendala.
“Kemudian, mangsa menerima mesej dari pihak bank terdapat pemindahan wang dari akaun pengadu ke akaun pihak ketiga (amaun yang tinggi daripada harga pembelian tersebut),” katanya. – KOSMO! ONLINE