LIVERPOOL – Bintang Liverpool, Mohamed Salah bertekad untuk menebus kekecewaan ke atas Real Madrid menjelang aksi final Liga Juara-Juara di Stade de France pada 28 Mei ini.
Salah, 29, masih menyimpan dendam terhadap Real sewaktu final musim 2017/2018 apabila menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan pada awal babak pertama kerana kecederaan yang sengaja dilakukan oleh Sergio Ramos.
Akibatnya, penggempur utama Mesir itu gagal membantu The Reds yang tewas 1-3 kepada Real hasil satu gol Karim Benzema dan dua jaringan menakjubkan Gareth Bale pada perlawanan akhir tersebut.
“Kami mempunyai misi untuk diselesaikan,” kata Salah yang memuat naik ciapan di laman Twitter peribadinya selepas sah bakal membuat perhitungan dengan Real di pentas final musim ini.
Sebagai rekod, Liverpool mara ke final menerusi kemenangan 5-2 secara agregat ke atas Villarreal selepas menang 2-0 di Anfield minggu lalu dan 3-2 di Estadio de la Ceramica kelmarin.
Kejayaan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu masih berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan quadruple dengan menjulang empat gelaran musim ini.
Liverpool cuma ketinggalan satu mata di belakang Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berbaki empat perlawanan sahaja lagi.
Pada masa sama, The Reds yang sudah meraih trofi Piala Liga Inggeris, juga bakal berentap dengan Chelsea pada final Piala FA pada 14 Mei ini. –AGENSI