PETALING JAYA – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini rata-ratanya disambut dengan penuh meriah oleh orang ramai dengan memperagakan busana Melayu yang baharu dan cantik.
Namun, suasana raya kali ini turut diserikan dengan koleksi pakaian raya kucing, malah jualannya ketika tinjauan Kosmo! terdahulu menyaksikan sambutan hebat daripada orang ramai yang memilih untuk membeli pakaian baru buat haiwan peliharaan mereka itu.
Tinjauan Kosmo! di media sosial menyaksikan banyak gambar-gambar swafoto pakaian atau untuk hari ini (OOTD) kucing yang segak berbaju Melayu serta berkurung moden dalam meraikan perayaan Aidilfitri telah mencuri perhatian ramai.
Seperti perkongsian Liyaya di laman Instagramnya, kelihatan enam ekor kucingnya dipakaikan pakaian sedondon sama seperti dia dan keluarganya yang mengenakan tema warna ‘peach’ bagi sambutan raya tahun ini.
Selain itu, seorang pengguna Facebook turut memuat naik gambar kucingnya yang lengkap berbaju Melayu warna biru berserta sampin dan songkok yang dibuat khas untuk kesayangannya itu. – KOSMO! ONLINE