PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah task force bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang ditemui terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penubuhan pasukan bertindak bebas itu bagi menyiasat budaya buli seperti yang didakwa.
“Saya menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih daripada ketua jabatan mendiang. Pihak polis juga sedang melengkapkan siasatan.
“KKM akan menubuhkan sebuah ‘task force’ bebas untuk menyiasat kes ini dan juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitternya hari ini.
Berita berkaitan: Jangan sebar maklumat tidak sahih kematian doktor pelatih HPP
Smentara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi balasan Twitter tersebut berkata, budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima terutama di hospital.
“Kami sedang menunggu siasatan polis dan laporan bedah siasatan termasuk keputusan kimia,” ujar beliau.-KOSMO! ONLINE