fbpx

Kejar suspek samun, penyampai berita cedera diseret

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pergelutan antara seorang penyampai berita dan suspek kes samun di Damansara Perdana semalam.

PETALING JAYA – Seorang penyampai berita tempatan, Khairul Rizuan, 34, cedera diseret akibat cuba mengejar suspek yang memecahkan tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3.40 petang semalam.

“Mangsa pergi ke kereta miliknya jenis Honda City yang diletakkan di tepi jalan dan melihat suspek sedang menendang cermin kenderaan sebelah penumpang hadapan sehingga pecah.

“Suspek kemudian mengambil beg kerja milik mangsa yang mengandungi komputer riba dan barangan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, penyampai berita terbabit menjerit dan suspek terus masuk ke dalam kereta dipandu jenis Perodua Myvi untuk melarikan diri.

“Mangsa cuba mengejar suspek terbabit dan berlaku pergelutan sehingga beg milik lelaki itu terjatuh keluar dari kereta.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan ringan dan kerugian dianggarkan sebanyak RM500,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI