fbpx

Kedai tomyam tutup, ramai serbu kedai mamak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA sebuah restoran melayan pelanggan yang datang untuk membeli nasi kandar di Seksyen 9, Shah Alam semalam.

GEORGE TOWN – Peniaga restoran nasi kandar tersenyum lebar apabila dapat mengaut untung ekoran premis mereka di­serbu ribuan pelanggan selepas banyak kedai makan terutama milik orang Melayu dan masakan tomyam masih ditutup untuk tumpuan cuti Aidilfitri.

Tinjauan Kosmo! di beberapa restoran nasi kandar di Bayan Baru dan pusat bandar mendapati kehadiran luar biasa sehingga pukul 1 pagi semalam.

Seorang pelanggan, Ashraf Ahmad, 32, berkata, dia terpaksa memandu sehingga hampir 20 kilometer dari Balik Pulau ke Bayan Baru bagi mencari kedai makan.

Menurutnya, hampir sebahagian besar premis nasi kandar dipenuhi pengunjung ekoran kebanyakan restoran Melayu termasuk Thailand masih tutup.

“Suasana di dalam restoran pula seperti berada di rumah kenduri,” katanya.

Sementara itu, Aishah Rahim, 39, memberitahu, dia terpaksa menunggu giliran hampir 45 minit di kaunter pandu lalu sebuah restoran.

“Jenuh memusing merata. Hampir kebanyakannya dipenuhi dengan kenderaan.

“Terpaksa kami anak beranak menahan lapar sementara me­nunggu tibanya giliran,” ujarnya.

Di Shah Alam, keadaan yang sama turut berlaku apabila restoran mamak terus menjadi pilihan utama.

Seorang kakitangan awam, Ridhuan Nor, 36, berkata, dia pergi kedai mamak kerana kebanyakan restoran Melayu masih ditutup.

“Mereka hanya buka selepas seminggu raya. Kalau ikutkan tekak, tak mahu makan mamak tetapi ini sahaja yang buka walaupun mahal,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Shafirul Basharuddin, 41, dia memilih restoran mamak sebagai tempat bertemu rakannya.

“Datang sini pun makan roti canai dan teh tarik sahaja. La­yanan pun baik di sini,” ujarnya.

Seorang pekerja restoran mamak di Seksyen 9, Abdul Rahman Abu Hanifa, 34, membe­ritahu, dia tak menang tangan melayan pelanggan yang datang bertali arus. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI