SEBERANG PERAI – Sebuah gudang menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdo di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini dilaporkan terbakar awal pagi tadi.
Menurut pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang bertugas, Mohamad Tarmizi Abdul Salam, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 5.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, apabila Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, terdapat satu kebakaran melibatkan gudang penyimpanan cecair mudah terbakar pada anggaran keseluruhan berkeluasan 3,716 meter persegi.
“Anggaran peratusan kebakaran pada masa ini (ketika sampai ke lokasi) adalah 70 peratus iaitu pada tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ.
“Kerja-kerja memadam kebakaran sudah memasuki peringkat akhir atau ‘overhaul’ selepas lebih lapan jam beroperasi dan ia tidak mengakibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat sebuah jentera bomba yang nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang sedang marak itu.
“Bagaimanapun, kenderaan tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan sahaja iaitu cat yang tertanggal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE