fbpx

Belajar perubatan, jadi pereka fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AFIFAH berhasrat untuk memasuki pasaran peruncitan dan membuka lebih banyak butik pada masa depan.

BIARPUN berkelulusan dalam bidang perubatan di luar negara, tetapi hatinya lebih terarah ke dunia fesyen disebabkan minat mendalam dalam bidang tersebut.

Menurut Nur Afifah Rasol, minat dalam dunia fesyen timbul selepas dia diperkenalkan oleh keluarga dengan kelas jahitan sejak kecil.

“Saya menghadiri kelas jahitan sejak kecil dan sewaktu berumur 13 tahun, saya telah menjahit baju sendiri,” ujarnya.

Nur Afifah, 27, yang juga pengasas jenama Fifarasol berkata, semua itu sedikit sebanyak membentuk minatnya dalam bidang fesyen untuk menghasilkan pakaian dengan jenama sendiri.

Sebaik tamat persekolahan dan memperoleh keputusan cemerlang, membolehkannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Jordan.

Ujarnya, dia menyambung pelajaran dalam bidang perubatan bukan kerana minat dan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

“Saya mendapat tawaran tersebut dan mengikutinya, sekurang-kurangnya dapat menguasai satu ilmu baharu,” katanya.

Menjadi kebiasaan buat Nuf Afifah ketika pulang ke Malaysia sewaktu cuti semester, dia akan menghasilkan baju kurung untuk dijual.

Malah, pada ketika itu, dia pernah menjual 45 pasang baju kurung dalam tempoh dua minggu sahaja.

BIARPUN bergelar graduan perubatan, gadis ini tertarik dengan dunia fesyen.

Pada ketika itu juga, abang sulungnya bercadang untuk menjadi rakan perniagaannya dan bersama-sama mengusahakan bidang tersebut.

“Ketika itu, saya hanya boleh pantau dari jauh kerana masih di Jordan. Saya akan menghasilkan rekaan dan abang akan membantu menghasilkan baju tersebut di Malaysia.

“Pada 2019 setelah tamat pelajaran, saya mengambil peluang untuk mengusahakan perniagaan tersebut secara sepenuh masa,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga telah membuka sebuah butik di Kajang, Selangor pada waktu itu.

Dalam pada itu, Nuf Afifah menjelaskan, tidak lama selepas itu dunia dilanda pandemik Covid-19 dan ini memberi cabaran buatnya.

Sebelum itu, dia ke China untuk mendapatkan fabrik tertentu bagi menghasilkan fesyen terkini sempena hari raya.

“Semasa pandemik, apa yang saya lakukan adalah menghentikan separuh daripada pengeluaran terlebih dahulu.

“Kemudian kami fokus untuk menjual baju-baju yang telah dihasilkan itu. Alhamdulillah, pada tahun 2020 kita telah berjaya menjual pengeluaran tersebut,” katanya.

Nur Afifah menjelaskan, hasil bimbingan RichWorks, dia berjaya melalui detik-detik sukar disebabkan pandemik Covid-19.

“Pada tahun 2020, saya berjaya meraih jualan sebanyak RM3.1 juta, manakala pada 2021 pula, dapat meraih jualan sebanyak RM7.1 juta.

“Hasil jualan itu setelah ditolak komisen ejen-ejen kami,” ujarnya.

Nur Afifah ternyata gembira kerana usaha yang dilakukannya itu turut memberi manfaat kepada orang lain untuk menjana pendapatan.

Kini katanya, dia mempunyai lebih 2,800 ejen yang membantunya dari segi jualan, malah ada ejen secara purata meraih komisen bersih RM8,000 sebulan.

“Pada tahun ini, sasaran jualan adalah RM16 juta dan sebolehnya mahu menambah jumlah ejen kepada 10,000 orang bagi mencapai sasaran itu.

“Ejen di bawah bisnes saya tidak perlu menyimpan sebarang stok, hanya perlu melakukan pemasaran. Barangan akan dihantar kepada mereka,” ujarnya.

Mengenai perancangan masa depan, Nur Afifah berkata, dia berhasrat untuk memasuki ke pasaran peruncitan dan membuka lebih banyak butik.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun, dia mahu membuka butik di pasar raya di seluruh Malaysia.

“Saya rasa tindakan ini perlu dilakukan memandangkan negara kita sudah memasuki fasa endemik.

“Sebelum ini orang ramai lebih memilih untuk membeli secara online.

“Kini setelah SOP (prosedur operasi standard) dilonggarkan, mungkin pengguna lebih selesa untuk melihat dan mencuba terlebih dahulu sebelum membeli setiap produk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI