PETALING JAYA – Aliran trafik di kesemua lebuh raya utama ketika ini dilaporkan sesak dan perlahan susulan pertambahan kenderaan sejak semalam.
Berdasarkan laman web Lembaga lebuh Raya Malaysia (LLM), kenderaan dilaporkan bergerak perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak sejak malam tadi.
Setakat pukul 1 tengahari ini, trafik dilaporkan sesak di Bentong kilometer (km) 55.5 termasuk Plaza Tol Gombak di km 19.8 menghala ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan, trafik sesak dilaporkan berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Perak ke Terowong Menora sepanjang 4.2 km, Tapah ke Bidor (7.6 km), Sungkai ke Slim River (7.3km) dan Bukit Beruntung ke Sungai Buaya (2.9 km).
Manakala bagi dari arah utara, trafik dilaporkan sesak sepanjang 4.3 km dari Kulai ke Sedenak dan 3.7 km dari Simpang Ampang ke Pedas Linggi.
Selain itu, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) kelihatan masih lancar dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan hanya sedikit sesak sepanjang 1.2 km sebelum Plaza Tol Kuala Terengganu.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu dan sentiasa berwaspada. – KOSMO! ONLINE