PANGKOR – Tiga penumpang sebuah van cedera ringan setelah kenderaan tersebut terlibat kemalangan di Jalan Teluk Nipah dekat sini petang tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.02 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor telah dihantar bagi memberi bantuan.
“Kemalangan melibatkan sebuah van yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Van tersebut dinaiki 10 orang termasuk pemandu di mana tiga mengalami kecederaan ringan manakala tujuh tidak cedera serta dikeluarkan oleh orang ramai,” ujar jurucakap itu.
Mangsa-mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pangkor manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.25 petang. – KOSMO! ONLINE