fbpx

Lelaki Thailand bakar mayat isteri yang disimpan selama 21 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHAN Chanwatcharakarn akhirnya membakar mayat isterinya selepas 21 tahun disimpan di rumahnya di Bangkok. - Facebook Yayasan Petchkasem Bangkok

BANGKOK – Seorang lelaki warga emas di Bangkok, Thailand akhirnya bersetuju membakar mayat isterinya dalam satu upacara pengebumian setelah menyimpan jasad berkenaan di dalam keranda di rumahnya selama 21 tahun, lapor laman berita The Thaiger semalam.

Chan Chanwatcharakarn, 72, berkata bahawa dia tidak sanggup berpisah dengan isterinya yang meninggal dunia pada 2001 akibat pendarahan otak setelah mengalami tekanan darah tinggi. 

Selepas kematiannya, Chan membawa mayat wanita itu ke Wat Chonpratarn Rangsarit di bandar Nonthaburi untuk mengadakan upacara Buddha, namun enggan membakar mayatnya.

Dia kemudian menyimpan mayat isterinya di dalam keranda di rumahnya di daerah Ram Inthra, Bangkok. 

Selama 21 tahun, Chan berkata, dia kerap bercakap dengan isterinya dan menceritakan masalahnya seolah-olah dia masih hidup.

Menurutnya, ia adalah cinta pandang pertama dan pasangan itu tidak pernah bergaduh sepanjang perkahwinan mereka. Isteri Chan pernah bekerja sebagai pegawai di Kementerian Kesihatan di Bangkok. 

Bagaimanapun, disebabkan usianya yang semakin meningkat, pesara pegawai tentera itu bimbang tidak berpeluang mengadakan upacara pengebumian yang wajar untuk isterinya lalu menghubungi Yayasan Petchkasem Krungthep untuk mendapatkan bantuan.

Yayasan itu kemudian membantu Chan menguruskan upacara pembakaran mayat dan pengebumian yang diadakan di sebuah wat di Bangkok pada Isnin lalu. 

Abu mayat wanita itu diletakkan di dalam tempayan dan Chan berkata dia akan menyimpannya sehingga dia meninggal dunia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI