KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelesaikan isu guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun ini.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, beliau telah mengarahkan perkara itu diberi perhatian dan diselesaikan segera.
“KPM sentiasa prihatin akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh masyarakat tentang pendidikan. Terkini perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS mereka pada jun 2022.
“Sebenarnya perkara ini sememangnya dalam perhatian saya. Dalam hal ini saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau lagi, KPM dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuatkuasa.
“Pengumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai. Kami di KPM komited untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi anak-anak pewaris negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE