fbpx

Ibu menyusul selepas 14 jam anak bongsu meninggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan van Toyota Hiace dinaiki Asmah dan keluarganya yang terlibat dalam kemalangan di KM 85, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang, Setiu semalam.

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga pakaian, Asmah Zakaria, 45, meninggal dunia hari ini setelah lebih 16 jam terlibat dalam kemalangan di KM 85, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang, Setiu semalam.

Kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu turut mengorbankan anak bongsunya, Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, pada dua jam kemudian di Hospital Setiu.

Adik Asmah, Nurul Husna, 30, berkata, kakaknya menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

“Suami arwah dan lima anaknya masih dirawat di wad hospital sama termasuk anak kelimanya (Muhammad Rafifuddin,12) yang dilaporkan masih kritikal.

“Kesemua mereka telah dipindahkan dari Hospital Setiu ke HSNZ malam tadi,” katanya di sini hari ini.

Nurul Husna berkata, jenazah Muhammad Aidil Fitri telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus selepas solat Isyak semalam.

Tambahnya, jenazah Asmah juga akan dikebumikan di tanah perkuburan sama pada hari ini.

“Sebelum kejadian, kakak (Asmah) memaklumkan mahu bergerak pulang ke kampung pada pagi raya kedua (semalam). Tak sangka mereka bergerak awal pada malam raya pertama.

“Dia yang menetap di Kangar, Perlis sempat mengirim baju raya kepada emak (Fatimah Yusof) dan kami adik-beradik pada bulan Ramadan lalu,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan van jenis Toyota Hiace dipandu Asmah terlibat kemalangan sebelum Muhammad Aidil Fitri disahkan meninggal dunia sewaktu dirawat di Unit Kecemasan Hospital Setiu pada pukul 8.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI