PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang melibatkan negeri Pahang, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 9 malam nanti.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, cuaca buruk tersebut dijangka melanda sekitar Kuantan dan Pekan, Pahang.
Selain itu, di Sarawak ia diramal melanda Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Tanjung Manis), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Sementara itu, di Sabah, beberapa kawasan juga bakal mengalami hujan lebat serta ribut petir malam ini.
“Antaranya adalah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Sandakan (Tongod),” katanya di sini hari ini.
Terbaharu, sebanyak 50 buah rumah di Kampung Parit Pasir, Pontian dimasuki air sehingga paras buku lali awal pagi tadi akibat hujan lebat berterusan. – KOSMO! ONLINE