PETALING JAYA – Sering diasak persoalan ‘bila nak kahwin’ apabila berada dalam kelompok yang ramai, pelakon Syafie Naswip memohon agar diberi masa disebabkan kegagalan hubungan terdahulu.
Syafie atau nama sebenarnya, Muhammad Shafie Naswip berkata, dia bersyukur walaupun belum bertemu jodoh namun kehidupannya sekarang sentiasa dikelilingi orang baik-baik dan berada dalam fasa tenang.
“Pertama sekali, saya pernah sayangkan seseorang. Saya pernah jaga hubungan itu baik-baik tapi jodohnya tak panjang.
“Alhamdulillah, saya berjaya keluar daripada cengkaman seseorang yang hidupnya begitu negatif, begitu toksik sampaikan hidup saya jadi huru-hara.
“Sekarang ini, saya chill (relaks), saya bahagia ada kawan-kawan. Saya ada.. Apa yang saya ada lah. Saya enjoy kehidupan saya sekarang ini. Ada famili, relaks.. Rasa relaks,” katanya menerusi satu muat naik video dalam Instagram.
Memberi pandangan bagaimana dirinya membalas persoalan tentang bila ingin berkahwan, jawab pelakon filem Mukhsin itu: “Give me time (beri saya masa). Sebab saya baru keluar daripada zon atau fasa trauma dalam hidup.
“Sebab apa yang anda baca, apa yang anda faham belum tentu sama dengan apa yang saya lalui,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ruangan komen, ramai rakan-rakan selebriti yang memberi kata-kata semangat buat Syafie.
“Chill Ayie (Syafie). Layan mak ayah lagi seronok,” tulis Nad Zainal.
Sekadar info, Syafie pernah bertunang dengan aktres Aishah Azman pada 7 April 2019 di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras. Bagaimanapun, tidak sampai beberapa bulan, pertunangan mereka telah putus. – KOSMO! ONLINE