PUTRAJAYA – Selepas sekian lama, jangkitan Covid-19 semalam merekodkan di bawah angka 1,000 dengan tiga digit dilaporkan iaitu sebanyak 922 kes.
Berdasarkan data pada laman web CovidNow, satu kes import mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 4,451,781 kes.
Dalam masa sama, sebanyak 5,520 kes sembuh direkodkan dengan jumlah keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 4,384,384 kes.
“Kesemua kes harian tersebut dilaporkan di Selangor (429 kes), Kuala Lumpur (120 kes), Pulau Pinang (83 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Perak (41 kes), Johor (35 kes), Sarawak (31 kes), Melaka (28 kes), Putrajaya (26 kes) dan Kedah (22 kes).
“Seterusnya, Pahang (19 kes), Sabah (12 kes), Terengganu (sembilan kes), Kelantan (tujuh kes), Perlis (satu kes) dan Labuan (satu kes),” demikian maklumat tersebut di sini hari ini.
Dalam masa sama, sebanyak sembilan kes kematian Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 35,564 kes serta lima kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID 7,528 kes.
Sebanyak 31,833 kes aktif dilaporkan melibatkan 30,821 kes dikuarantin di rumah, 14 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 929 kes di hospital, 23 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 46 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE