fbpx

Rahadiazli mungkin kempunan lagi perolehi debut sulung kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHADIAZLI mengalami kecederaan pangkal paha ketika berdepan Negeri Sembilan pada aksi Piala FA lalu.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PELUANG penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim untuk beraksi pada Sukan SEA Vietnam tampak samar gara-gara kecederaan pangkal peha dialaminya sewaktu bertemu Negeri Sembilan Jumaat lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan tersebut sewaktu menyelamatkan percubaan pemain Negeri Sembilan, A. Namathevan pada minit ke-72 sebelum terpaksa digantikan dengan Mohd. Suhaimi Husin.

Rahadiazli yang melaporkan diri kem latihan skuad B-23 negara kelmarin berkata, beliau kini dinasihatkan untuk berehat satu atau dua hari lagi bagi memantau tahap kecederaan dialaminya.

“Saya sudah rasa kecederaan itu tiga hari sebelum perlawanan namun sanggup mengetepikan rasa sakit memandangkan pertemuan dengan Negeri Sembilan cukup penting.

“Keadaan nampak teruk menyebabkan peluang 50-50 untuk saya membuat penampilan di pentas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tetapi saya harap ia tidak serius dan boleh pulih dengan segera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahadiazli kembali dalam kesebelasan utama TFC ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 April lalu setelah setahun disisihkan akibat kecederaan ligamen (ACL), April tahun lalu.

Kecederaan serius itu menyebabkan pemain berketinggian 1.92 meter itu terlepas pusingan kelayakan Piala Asia B-23 bersama skuad kendalian Brad Maloney pada bulan Ogos tahun lalu.

“Saya sudah pasti  tidak mahu melepaskan peluang menyarung jersi negara kerana itu adalah azam tahun ini.

“Sebelum ini, saya turut digugurkan daripada skuad senior Harimau Malaya setelah positif Covid-19 pada Mac lalu. Banyak ‘halangan’ saya untuk membuat penampilan bersama Harimau Malaya,” katanya.

Rahadiazli yang melakukan pengorbanan berjauhan daripada keluarga pada 1 Syawal berazam untuk pulih segera bagi merebut posisi nombor satu sekali gus beraksi di Sukan SEA Vietnam.

Anak-anak buah Brad Maloney dijangka bertolak ke Hanoi pada Rabu ini sebelum membuka tirai aksi Kumpulan B bertemu pasukan pilihan, Thailand pada 7 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI