SHAH ALAM – Bekalan air di 472 kawasan yang terjejas di Lembah Klang akan disalurkan secara berperingkat mulai malam ini.
Ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi pada pukul 3.30 petang tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua loji yang dihenti tugas susulan pencemaran bau itu beroperasi semula selepas tiga bacaan 0 ton dicatatkan.
Katanya, insiden berkenaan kali ketiga berlaku di lokasi sama pada minggu ini.
“Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bertungkus lumus menyelesaikan isu pencemaran secepat mungkin agar gangguan ditamatkan.
“Saya memahami kekecewaan dialami penduduk yang terkesan namun tindakan harus diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya menerusi Facebook rasminya petang ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah akan mengalami bekalan gangguan air tidak berjadual bermula pukul 3 petang hari ini.
Gangguan bekalan tersebut ekoran insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. – KOSMO! ONLINE