PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dilaporkan sesak serta perlahan di beberapa lokasi ekoran pertambahan kenderaan petang ini.
Jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia berkata, keadaan trafik bergerak secara perlahan melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan dari Putra Mahkota sehingga Nilai, Negeri Sembilan sepanjang 10 kilometer(km).
“Sementara itu, aliran trafik dari Bandar Ainsdale ke arah Pedas Linggi mengalami kesesakan dan perlahan sejauh 27 km.
“Selain itu, kebakaran kereta yang berlaku di Yong Peng menghala ke Ayer Hitam menyebabkan aliran trafik perlahan sepanjang 8 km,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan yang berlaku. – KOSMO! ONLINE