PONTIAN – Kegembiraan 24 buah keluarga meraikan hari raya terbantut apabila rumah mereka di sekitar kawasan Pekan Nanas ditenggelami banjir pagi tadi.
Penghulu Mukim Pontian, Fadzullah Mohd. Yusof berkata, hujan lebat selama lima jam bermula pukul 3 pagi melibatkan limpahan air sungai.
Ujarnya, antara keluarga yang terlibat adalah mereka yang tinggal di Kampung Paya Embun, Kampung Seri Gambut, Kampung Melayu Raya dan Kampung Maju Jaya.
“Bagaimanapun setakat ini belum ada keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diwartakan iaitu di Sekolah Kebangsaan ( SK) Melayu Raya Dan SK Kampung Sawah.
“Kedua-dua pentadbiran telah dihubungi bagi proses perpindahan jika keadaan bertambah buruk, “katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Fadzullah, keadaan paras air di kawasan terlibat dinaiki air antara dua hingga empat kaki dan pasukan anggota Bomba Dan Penyelamat Pekan Nanas berada di lokasi kejadian bagi memantau selain membantu keluarga yang terjejas.-KOSMO! ONLINE