PETALING JAYA – Harga tiket penerbangan yang terlalu mahal ‘memaksa’ ramai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melupakan hasrat mereka untuk pulang beraya di negeri masing-masing.
Situasi itu melibatkan mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak serta warga Semenanjung yang perlu balik dari dua buah negeri tersebut.
Berkongsi cerita, seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Sinematografi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Nurul Rahayu Norianto, 23, berkata, tahun ini merupakan pengalaman pertama menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan di kampus.
Menurut pelajar tahun ketiga itu, tahun lalu dia berpeluang pulang beraya bersama keluarga di Kuala Lumpur meskipun negara berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan harga tiket penerbangan tidaklah semahal seperti sekarang.
“Tahun ini, tiket penerbangan dari Kuching nak balik Kuala Lumpur agak mahal, rasa membazir untuk digunakan sebab komitmen sebagai pelajar IPT perlu diutamakan.
“Sedih dan rindu memanglah ada, terutamanya suasana pagi raya berkumpul dengan keluarga dan tahun ini juga banyak kelonggaran dah diberikan untuk dapat beraya bersama keluarga besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Nurul Atikah Mohd. Rashidan, 23, yang berasal dari Sarawak meluahkan rasa sedih dan sebak kerana segala perancangan untuk berkumpul bersama saudara-mara pada pagi raya tidak menjadi.
Ujarnya, walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini serba sederhana, dia tetap membeli sepasang baju raya baharu serta beberapa jenis kuih raya sebagai persiapan beraya sebagai anak perantau.
“Sejujurnya sangat sedih dan banyak rancangan telah dibuat untuk Aidilfitri ini dengan keluarga dan saudara mara, tapi bila lihat tiket penerbangan mahal, saya membuat keputusan untuk beraya di kampus dengan warga USM bernasib sama,” jelasnya.