fbpx

Russia tayang simulasi letupkan blok Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stesen televisyen Rusia menayangkan simulasi serangan nuklear ke atas London, Paris dan Berlin menggunakan peluru berpandu Satan II. - Daily Mail

MOSCOW – Sebuah stesen televisyen tempatan Rusia menayangkan gambaran simulasi pengeboman senjata nuklear ke atas blok Eropah sekiranya Presiden Vladimir Putin mengambil keputusan untuk melancarkan Perang Dunia Ketiga, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.

Stesen propaganda Kremlin itu memaparkan simulasi letupan nuklear di tiga kota raya Eropah serta mendakwa peluru berpandu itu akan mengenai Paris, Berlin dan London dalam masa hanya tiga minit.

Pengerusi parti nasionalis Rodina, Aleksey Zhuravlyov cuba membuat tekaan mengenai apakah yang akan berlaku sekiranya Putin melancarkan senjata nuklear terhadap Britain.

“Serangan itu hanya memerlukan satu sahaja peluru berpandu Satan II dan seluruh kepulauan Britain tidak akan wujud lagi di muka Bumi ini,” kata Zhuravlyov.

Rancangan televisyen itu kemudiannya memaparkan kepada penonton sebuah peta yang seolah-olah mencadangkan peluru berpandu boleh dilancarkan dari Kaliningrad, wilayah jajahan Rusia antara Poland, Lithuania dan Laut Baltic.

Ia mencadangkan peluru itu boleh sampai ke Berlin dalam masa 106 saat, Paris dalam masa 200 saat dan London dalam tempoh 202 saat.

Klip itu telah ditayangkan dalam program 60 Minit Channel One, salah sebuah rancangan paling popular di Rusia yang dihoskan oleh pasangan suami isteri, Olga Skabeyeva dan Evgeny Popov.

Dalam pada itu, Popov memaklumkan bahawa Britain juga memiliki keupayaan senjata nuklear namun Zhuravlyov tidak melihatnya sebagai satu cabaran besar.

“Tiada siapa yang akan bertahan dalam peperangan ini apabila anda menggunakan senjata Satan II. Tiada sesiapa di planet ini.

“Kebolehan mereka terhad. Mereka berkata mereka boleh menembak senjata nuklear tetapi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI