fbpx

Real Madrid juarai La Liga buat kali ke-35

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REAL menewaskan Espanyol 4-0 pada aksi di Santiago Bernabeu sekali gus mengesahkan kejuaraan La Liga musim ini. – AFP

MADRID – Real Madrid kembali membuktikan status sebagai kelab paling berjaya di Sepanyol apabila menjuarai gelaran La Liga buat kali ke-35 pada musim ini.

Kejayaan itu hadir selepas Los Blancos membelasah Espanyol 4-0 hasil dua jaringan Rodrygo dan masing-masing satu daripada Marco Asensio serta Karim Benzema di Santiago Bernabeu malam kelmarin.

Ia secara tidak langsung mengesahkan kejuaraan menjadi milik Real berdasarkan kelebihan 17 mata dimiliki ke atas pencabar terdekat di tangga kedua, Sevilla dengan baki empat perlawanan sahaja lagi musim ini.

Lebih menarik, kejayaan itu menyaksikan Ketua Jurulatih Real, Carlo Ancelotti turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul individu pertama memenangi kejuaraan liga dalam lima saingan tertinggi di benua Eropah.

Ancelotti, 62, sebelum ini pernah mengemudi AC Milan menjulang gelaran Serie A pada 2004, Liga Perdana Inggeris dengan Chelsea (2010), Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain (2013) dan Bundesliga ketika di Bayern Munich (2017).

Kejayaan itu pastinya me­ningkatkan semangat Ancelotti dan pasukannya untuk memburu kejuaraan seterusnya iaitu trofi Liga Juara-Juara menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Manchester City pada Khamis ini.

“Musim ini amat menakjubkan kerana kami berjaya konsisten walaupun berdepan pelbagai cabaran. Sekarang masa untuk para pemain meraikan kejayaan ini.

“Saya juga amat berbangga kerana berjaya memenangi kejuaraan liga dalam lima saingan yang berbeza. Ia suatu yang menakjubkan

“Sudah tentu saya tidak mahu ia terhenti di sini. Saya mahu terus memenangi kejuaraan bersama Real. Kita jumpa Rabu nanti (aksi bertemu City pada Khamis ini),” kata Ancelotti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI