PETALING JAYA – Prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim dan asnaf serta menghargai pengorbanan barisan hadapan, NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd. (NOIR) telah menganjurkan program kebajikan NOIR Prihatin sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut kenyataan, program tersebut bermula dengan aktiviti mengagihkan juadah berbuka puasa percuma di bazar-bazar utama di sekitar Lembah Klang seperti di Kota Damansara, Bandar Kinrara dan juga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Juadah berbuka puasa juga diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan orang ramai di Hospital Kuala Lumpur dan Selayang.
Selain itu, NOIR turut meraikan seramai 31 anak yatim bersama tujuh penjaga dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara dalam satu majlis berbuka puasa dekat sini
Tetamu istimewa itu menerima sumbangan hari raya berupa sepasang baju Melayu dan baju kurung berserta duit raya.
Lebih meriah, syarikat yang telah menganjurkan Peraduan Cantik & Menang bersempena penajaan utamanya bagi sebuah program hiburan baru-baru ini, telah menyampaikan hadiah kepada pemenang utama peraduan tersebut, Normah Mohd. Yaman dari Kuantan, Pahang.
Dia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 10,000 pada malam tersebut.
Menghampiri hari-hari terakhir Ramadan, Program NOIR Prihatin mengedarkan juadah berbuka puasa kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga di Chow Kit. -KOSMO! ONLINE