PUTRAJAYA – Professional Mutawiff Development International College (PMDIC) yang menawarkan Program Kemahiran Mutawwif Umrah dan Ziarah di Malaysia bakal melahirkan lebih ramai mutawwif berpengetahuan tinggi dan berpengalaman untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Pengarah Urusan Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd. (PMDSB), Abd. Halim Ikhsan berkata, sehingga kini terdapat lebih daripada 250 pelajar sedang mengikuti pengajian selama dua tahun di situ.
PMDIC telah ditubuhkan pada tahun 2020 kini memiliki cawangan di Perak, Melaka, Selangor, Sabah dan Sarawak.
“Dalam beberapa bulan akan datang, PMDIC akan mula beroperasi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Johor; Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Universiti Teknologi Mara cawangan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara PMDSB dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan juga sesi penyerahan plak kerjasama rakan strategik di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Biro Latihan dan Pembangunan Produk Bumitra, Dr. Wan Muhammad Adam Wan Norudin.
Abd. Halim menerangkan, program yang ditawarkan adalah berasaskan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta telah mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran pada April tahun lalu. -KOSMO! ONLINE