fbpx

Nabila Razali nak raya sakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKUI Nabila, persiapan dan suasana raya pada tahun ini diibaratkan seperti membalas dendam selepas dua tahun tidak berpeluang berkumpul dengan sanak saudara di kampung halaman.

RAMADAN bakal melabuhkan tirai dan Syawal pula menjelang tiba.

Dalam setahun, Hari Raya Aidfitri merupakan antara perayaan yang paling dinantikan ramai lebih-lebih lagi selepas dua tahun rakyat negara ini tidak berpeluang menyambut Syawal dengan penuh gilang-gemilang.

Girangnya rakyat Malaysia diberi semula peluang untuk menyambut raya bukan kepalang. Bukan hanya orang biasa tetapi golongan selebriti tanah air juga tidak sabar untuk menanti ketibaan Syawal termasuklah penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali.

Pertama kali raya di kampung

Teruja untuk menyambut raya, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali memberitahu, dia sudah melakukan persiapan hari lebaran lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, jadual kerjanya pada Ramadan tahun ini tidak sesibuk seperti tahun sebelumnya.

“Perjalanan hidup dan karier saya pada Ramadan kali ini lebih relaks dan tenang. Cuma perlu menyiapkan beberapa rakaman serta kerja yang tertunda.

“Kebanyakan masa pada bulan puasa, saya habiskan bersama keluarga dan untuk diri sendiri sahaja. Ramadan kali ini tenang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam pada itu, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu memberitahu, dia juga akan meraikan Syawal buat pertama kali di kampung halaman di Melaka.

“Tahun ini memang lain berbanding raya sebelum ini sebab saya pertama kali beraya di kampung belah mak di Pulau Sebang, Melaka.

“Rasa tak sabar sangat nak beraya. Mana tidaknya, dua tahun kita hanya beraya dengan keluarga terdekat di Kuala Lumpur. Kali ini dapatlah berkumpul dengan saudara-mara lain,” tuturnya.

Persiapan raya awal

Menambah cerita tentang persiapan, pelantun lagu Peluang Kedua itu memberitahu sudah mempunyai beberapa helai baju raya yang siap disusun mengikut hari.

“Memang saya beraya sakan pada tahun ini. Baju raya pun sudah ada tujuh pasang jenama Bulan Bintang, macam-macam warna ada.

“Malah, kuih raya juga sudah dibeli awal seperti tat nanas, namun hanya cornflakes madu yang belum dapat.

“Jadi, semua persiapan tahun ini memang awal sebab saya sangat teruja untuk menyambut raya,” kata pelakon berusia 30 tahun itu.

Sementara berkongsi tentang menu kegemaran pada lebaran, pelakon drama Kebaya Kasut Kanvas itu memberitahu, dia sangat menggemari rendang ayam masakan ibu tercinta.

“Saya memang tak sabar nak rasa rendang ayam air tangan mak saya. Kalau tiada menu tersebut, memang rasa tak lengkap.

“Tahun ini memang saya akan nikmati semua juadah, sudah lama tak merasai momen makan beramai-ramai dan saling bermaafan bersama saudara yang sudah lama tak berjumpa,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, dia mengakui berasa sedih kerana tidak berpeluang meraikan hari lebaran dengan anak-anak jiran di kawasan sekitar rumahnya di Selayang. Sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah terlepas untuk beraya bersama dengannya.

“Selama ini saya memang beraya di Selayang tetapi tahun ini tidak. Pasti adik-adik di sana akan tercari-cari saya.

“Saya mohon maaf awal-awal sebab tak dapat beraya bersama dengan kawan-kawan di Selayang sebab tahun ini saya di Melaka,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI