fbpx

Melankolik, ceria serikan juadah Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUDAH menjadi tradisi, setiap stesen televisyen akan berlumba-lumba menyiarkan seleksi program terbaik sepanjang sambuta Hari Raya Aidilfitri.

PELBAGAI pilihan drama dan telefilem Aidilfitri menarik akan mewarnai sambutan lebaran penonton sepanjang Syawal 2022. Pastinya sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih meriah dengan paparan drama dan telefilem baharu yang ditayangkan menerusi kaca televisyen.

Awesome TV ‘padu’ dengan drama, telefilem

Awesome TV menyediakan variasi drama hebat bersempena Syawal. Slot Ohsem Tele membariskan seleksi telefilem yang sarat dengan penceritaan menarik. Istimewa hari raya pertama, naskhah hebat Jeman arahan sutradara tersohor Rashid Sibir dibintangi Iman Zulkarnain, Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Mia Farhana akan bersiaran pada 3 Mei, pukul 9 malam.

NASKHAH Jeman menemui penonton pada Syawal pertama.

Selain itu, pelbagai telefilem segar turut disusun bagi mengisi slot yang sama pada setiap hari Ahad, 9 malam. Antaranya Mat Ri Ye Pak Din yang dilakonkan Sharif Zero, Sabri Yunus, Mak Engku dan Cahaya Nilam. Termasuklah Nawfal Nak Raya, Syurga Nur Muhammad dan Kasih Yang Ternoda lakonan mantap Reen Rahim, Hisyam Hamid dan Zain Hamid.

Dua naskhah menarik yang merupakan bahagian kedua drama bersiri Syurga Yang Kedua dibintangi Zarul Husin, Elizad Sharifuddin, Fasha Sandha, Sherry Ibrahim dan Dynas Mokhtar kembali menghiasi slot Dramatix. Sementara drama Hantu Van Sewa 2 dilakonkan Nasir Bilan Khan dan Bell Ngasri ditayangkan dalam slot Dramedi setiap Khamis hingga Ahad pukul 9.30 malam bermula 12 Mei.

FILEM Bollywood Mann turut mengisi tontonan raya menerusi Awesome TV.

Drama emosi Nabila Huda, Azhan Rani terbitan RTM

Membawakan tema Syukurnya Syawal, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tiga saluran utama, TV1, TV2 dan TV Okey akan menyajikan pelbagai pilihan program menarik.

Antaranya drama PA Lelaki Kerek yang ditayangkan pada 4 Mei menerusi saluran TV Okey. Drama lakonan Johan As’ari dan Jasmine Suraya tersebut pastinya menambat hati dengan kisah percintaan yang mencuit hati.

NABILA HUDA dalam dalam satu babak drama Demi Cintaku Zainuddin.

Tidak ketinggalan drama Demi Cintaku Zainuddin lakonan hebat dramatis Nabila Huda dan Azhan Rani. Drama tersebut akan ditayangkan pada 7 Mei menerusi saluran TV1.

Drama Pulut Kuning Sushi Salmon lakonan Atikah Suhaime dan Mubarak Majid juga tidak kurang menarik. Mempamerkan dua budaya antara Malaysia dan Jepun, naskhah tersebut akan ditayangkan pada 4 Mei, pukul 9 malam menerusi TV2.

Menampilkan pelakon Nasz Sally, Azad Jazmin, Azizah Mahzan dan Zulin Aziz, telefilem khas Aidilfitri Sabotaj Raya mengisahkan tentang seorang gadis bernama Elina. Kisah yang diselitkan dengan unsur humor tersebut pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi apabila ditayangkan pada 3 Mei ini menerusi TV2.

BARISAN pelakon yang membintangi drama PA Lelaki Kerek tayangan TV Okey.

TV3, TV9 rentap emosi penonton

Tidak cukup syarat sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa kehadiran drama-drama yang mampu membuatkan para penonton beremosi sehingga mampu menitiskan air mata.

Situasi tersebut dijanjikan dua stesen televisyen bawah naungan Media Prima Berhad iaitu TV3 dan TV9 dengan menghidangkan drama-drama lakonan pelakon hebat tanah air sepanjang minggu pertama Syawal.

Bertemakan Seikhlas Hati, TV3 pada minggu pertama lebaran mempertaruhkan beberapa drama hebat seperti Wan Senja lakonan hebat Ogy Ahmad Daud, Ali Reza Kavoossi, Nabila Razali, Wan Sharmila, Syazuwan Hassan dan Fify Azmi.

Bersiaran pada 3 hingga 6 Mei pukul 11.30 pagi, drama tersebut mengisahkan suka duka kehidupan seorang guru iaitu Hajah Rohimah (Ogy) selain beberapa konflik yang berlaku dalam keluarganya.

TELEFILEM yang dijangka merobek hati penonton, Jangan Malu Menangis lakonan mantap Rosyam Nor (kiri) dan Fauziah Latiff.

Naskhah arahan Riza Baharuddin tersebut akan membuatkan jiwa penonton terusik dengan jalan cerita serta lakonan mantap para pelakonnya.
Sementara itu, TV3 juga menggamit semula kenangan peminat sitkom popular, Puteri menerusi drama mini Puteri Reunion yang akan menemui penonton bermula 3 hingga 6 Mei pukul 10.30 pagi.

Menariknya, Puteri Reunion menghimpunkan semula semua pelakon asalnya iaitu Nora Danish, Nina Fazurina, Beego, Intan Ladyana dan Kenchana Dewi.

Menampilkan jalan cerita yang lebih matang, drama tersebut turut dibintangi Ruhainies dan Idris Khan.

Sementara itu, stesen TV9 juga tidak kalah dengan membariskan beberapa drama menarik.

DRAMA Wan Senja menemui penonton dari hari raya pertama hingga keempat.

Salah satunya ialah telefilem berjudul Jangan Malu Menangis yang akan ditayangkan pada malam raya, pukul 9.30 malam.

Telefilem tersebut dilabelkan sebagai ‘wajib tonton’ kerana membariskan lakonan pelakon hebat iaitu Datuk Rosyam Nor, Fauziah Latiff, Ozlynn Wati, Aprena Manrose dan Harissa Adlyn yang mampu merentap emosi penonton dengan jalan cerita dipaparkan.

Jangan Malu Menangis mengisahkan tentang Ramlee (Rosyam) yang merupakan bekas kelasi kapal menjalani kehidupannya bersama anak-anak selepas kematian isteri tercinta, Haryati (Fauziah).

FILEM pendek Astro, Tujuh Hari Di Bawah Matahari lakonan Nadhir Nassar.

Astro pertaruh filem pendek, drama wajib tonton

Stesen televisyen berbayar terkenal Astro turut menyajikan pelbagai drama dan filem menarik sepanjang Aidilfitri tahun ini.

Bertemakan Semangat Lebaran Kita, Astro mempertaruhkan filem pendek berjudul Tujuh Hari Di Bawah Matahari lakonan hebat Nadhir Nasar.

Filem pendek tersebut akan disiarkan pada malam raya secara tayangan perdana di Astro Go pukul 8 malam dan secara serentak menerusi semua saluran Astro pada Syawal ketiga bermula pukul 8.30 malam.

Naskhah arahan pengarah Razaisyam Rashid berkenaan menerapkan elemen pasca pandemik yang mengangkat mesej perjuangan hidup yang terpaksa diteruskan selepas berdepan waktu sukar selama dua tahun akibat Covid-19.

LAKONAN Remy Ishak dan Amyra Rosli dalam Jangan Menangis Cinta.

Tujuh Hari Di Bawah Matahari mengisahkan pemuda harapan keluarga bernama Emil yang tekad berbasikal sejauh 500 kilometer untuk pulang ke kampung halaman di Perlis bertemankan si ‘bulus’ bernama Borhan bagi menyambut Aidilfitri.

Selain Nadhir, naskhah ditunggu-tunggu tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Sherie Merlis dan Pekin Ibrahim.
Bagi peminat drama Melayu pula, Astro turut menyajikan barisan drama menarik dan wajib tonton seperti Jangan Menangis Cinta lakonan Remy Ishak, Amyra Rosli dan

Rita Nadira yang sudah mula ditayangkan bermula 21 Mac lalu pukul 10 malam pada setiap Isnin hingga Khamis.
Dendam Seorang Isteri turut ditayangkan hingga 8 Julai depan menampilkan Nad Zainal, Fasha Sandha, Aidit Noh dan Wan Raja bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 6 petang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI