ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut akibat dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Batu 9, Kota Sarang Semut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Shafiq Haikal Sahfiee meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa melintas jalan sementara motosikal jenis Yamaha Y15 datang dari arah Kota Sarang Semut ke Simpang Empat.
“Penunggang motosikal berusia 22 tahun itu gagal mengelak daripada melanggar mangsa yang dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Hassan Hitam maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, penunggang motosikal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan pula mengalami luka di badan sebelah kanan.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE