JAKARTA – Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Adita Irawati menyatakan bahawa terdapat peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 209.4 peratus pada semua mod pengangkutan awam tiga hari menjelang Aidilfitri, lapor laman Kompas, kelmarin.
Angka itu adalah berdasarkan data sementara yang dikumpul dari Pos Pengangkutan Lebaran Bersepadu 2022.
“Sehingga kelmarin, tinjauan mendapati terdapat peningkatan jumlah kenderaan di semua jenis pengangkutan awam.
“Kenaikan dianggarkan mencapai 209.4 peratus berbanding waktu biasa pada April 2022,” kata Adita.
Selain itu, Kementerian Pengangkutan turut mengesan peningkatan trend pergerakan penumpang dalam semua mod pengangkutan dari Isnin hingga Jumaat lalu atau kira-kira seminggu menjelang hari raya berbanding hari biasa.
Bagaimanapun, jumlah itu adalah masih lebih kecil dengan perbezaan sebanyak 36.8 peratus berbanding pergerakan penumpang terkumpul dalam tempoh sama tahun 2019 iaitu sebanyak 5,576,540 orang.
“Bagaimanapun, data kumulatif tahun ini masih bersifat sementara dan dijangka terus meningkat,” kata Adita. – Agensi