fbpx

Jagalah adab, jangan susahkan tuan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidilfitri tahun ini dianggap cukup istimewa selepas dua tahun kegembiraan kita dibatasi oleh pandemik Covid-19.

HARI Raya Aidilfitri memberi seribu satu perasaan. Ramai yang bergembira asbab keterujaan meraikan perayaan utama umat Islam ini.

Ada juga yang bersedih kerana hadirnya Syawal tanpa seri insan-insan tersayang. Mereka terlebih dahulu pergi meninggalkan kita kerana pelbagai sebab.

Bagi yang pulang ke kampung, rasa teruja itu sangat luar biasa. Perjalanan pulang selama berjam-jam, bukan lagi malapetaka, sebaliknya sebuah kenangan.

Duit yang dihabiskan juga tidak menjadi masalah, semuanya dibelanjakan dengan penuh ikhlas demi sebuah kegembiraan.

Selain kisah-kisah balik kampung dan hal-hal berkaitan perbelanjaan, aktiviti ziarah atau kunjung-mengunjung di hari raya juga sering dibincangkan.

Maklumlah, Aidilfitri tahun ini dianggap cukup istimewa selepas dua tahun kegembiraan kita dibatasi oleh pandemik Covid-19.

Bagi pihak si tuan rumah, perasaan gembira akan dirasai tatkala melihat ramai tetamu yang datang bertandang. Setiap inci hiasan ruang tamu sehinggalah kepada juadah, semua diteliti dengan sebaiknya.

Pendek kata, konsep memberi dan meraikan tetamu diamalkan sepenuhnya demi sebuah silaturahim.

Bagi yang bergelar tetamu, tidak banyak persiapan yang perlu dilakukan. Sekadar datang, memberi salam dan makan. Selainnya akan diisi dengan sesi perbualan, bertanya khabar dan bergelak sakan.

Namun, musibah besar boleh berlaku jika tetamu melanggar pantang larang. Ada banyak adab yang perlu dipatuhi ketika berziarah ke rumah orang.

Kena beringat, hal-hal remeh yang kita rasakan sebagai biasa perlu dielakkan. Bukan apa, takut niat baik untuk mengeratkan silaturahim, akhirnya bertukar menjadi drama bermasam muka.

Perihal anak-anak yang sukar dikawal antara perkara yang perlu diambil berat. Nasihati mereka, didik dan ajar cara sebenar ketika berada di rumah orang.

Begitu juga dengan tanggungjawab untuk memudahkan si tuan rumah. Sekalipun kunjungan itu melibatkan adik-beradik atau saudara terdekat, adab perlu diutamakan. Elak meminta kepada
perkara-perkara yang membebankan mereka.

Anak-anak muda yang berkunjung ke rumah teman juga perlu mengambil peranan. Rancang kunjungan dan ikutlah masa yang sesuai. Elak berlebih-lebih ketika berada di rumah orang dan jaga perangai.

Hakikatnya, hari raya adalah detik istimewa untuk semua. Yang berkemampuan kita hormati, manakala yang kurang bernasib, kita raikan sebaik mungkin.

Bersalamanlah dengan penuh ikatan persaudaraan dan sanjungilah orang-orang yang dekat dengan kita. Diakhirnya, kita hanya perlu bersyukur kerana masih diberikan peluang. Semuanya bergantung kepada sikap dan peribadi.

Seperti kata cendiakawan Indonesia, Hamka, “20 kerbau yang gemuk dan sama sihat, harganya tentu tidak jauh berbeza. Namun, 20 manusia yang sama tinggi dan kuat, belum tentu nilainya sama. Bagi seorang manusia, yang mahal itu adalah keperibadiannya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI