LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan beliau sangat menikmati tekanan yang dihadapi terutama dalam pemburuan dua trofi utama, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Leeds United 4-0 awal pagi semalam.
Ketika ini, dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) City dan Liverpool masing-masing mempamerkan taring selepas meraih kemenangan penting dalam usaha untuk memburu kejuaraan liga.
City berjaya mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Liverpool dalam aksi saingan liga yang kini berbaki empat perlawanan selepas meraih kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut.
“Saya lebih gemar merasai tekanan. Ini bermakna kami mempunyai peluang untuk melakukannya lebih baik dalam baki perlawanan.
“Ia adalah musim yang panjang, tetapi kini kami menuju usaha pada fasa terakhir. Kami mempunyai perlawanan ‘akhir’ di Madrid dan selepas itu, empat perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Kemenangan hari ini sangat penting untuk memastikan peluang untuk memburu kejuaraan terus cerah. Kami berdepan sedikit kesukaran pada babak pertama dan selepas mendapat gol kedua, kami mula mengawal permainan,” kata Guardiola.
Pada aksi tersebut, City berjaya mendapatkan jaringan menerusi Rodri pada minit ke-13 sebelum tiga lagi gol diledak pada babak kedua menerusi Nathan Ake, Gabriel Jesus dan Fernandinho. – AGENSI