PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kini muncul juara baharu Asia selepas berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina.
Kejayaan itu hadir selepas Zii Jia, 24, menewaskan pemain No.8 dunia dari Indonesia, Jonathan Christie dengan kemenangan 21-17, 23-21 pada aksi final di Komplek Sukan Muntinlupa sebentar tadi.
Walaupun diasak sengit oleh Christie tetapi kejayaan tetap menjadi milik Zii Jia disebabkan beberapa kesilapan individu dilakukan pemain lawan dalam pertarungan yang memakan masa selama 45 minit.
Ia menyaksikan pemain dari Alor Setar, Kedah itu berjaya mengulangi kejayaan yang pernah dilakar legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika menjuarai edisi 2016 di Wuhan, China.
Dalam masa sama, kejayaan Zii Jia juga sedikit sebanyak menebus kekecewaan kem badminton negara ke atas Indonesia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan pada final beregu lelaki.
Gelaran sebagai juara Asia pastinya menjadi pembakar semangat terbaik buat Zii Jia untuk memberikan aksi terbaik buat Malaysia pada saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini. – KOSMO! ONLINE