PYONGYANG, Korea Utara – Rakyat Korea Utara yang mahir teknologi komputer dilaporkan menggodam perisian telefon pintar dikawal pemerintah untuk mengakses media terlarang dari negara lain, demikian menurut beberapa laporan seperti paparan akhbar MailOnline kelmarin.
Proses dinamakan ‘Jailbreaking’ itu merujuk kepada perbuatan mengeksploitasi kelemahan peranti elektronik seperti telefon pintar untuk memasang perisian selain daripada disediakan oleh pengilang.
Bagi negara selain Korea Utara, istilah tersebut bermaksud pengguna memasang aplikasi dan perisian yang melanggar sekatan sistem operasi Apple dan Google.
Bagaimanapun di Korea Utara, rakyatnya dipaksa menggunakan telefon tempatan dengan ciri telefon pintar tetapi mengehadkan pengguna kepada hanya aplikasi dan propaganda yang diluluskan oleh pemerintah.
Setiap telefon itu didatangkan dengan perisian yang berfungsi mengawal selia bagaimana peranti digunakan, merakam tangkapan skrin secara rawak dan menyimpannya di dalam ruang tidak boleh padam.
Laporan itu mendedahkan bagaimana sebilangan warga Korea Utara mengubahsuai telefon pintar mereka supaya dapat mengakses maklumat dari dunia luar.
Dalam laporan tersebut, dua pembelot yang melarikan diri dari Korea Utara telah menceritakan kaedah serupa untuk menggodam telefon.
Ia melibatkan penggunaan sejenis aplikasi yang diseludup masuk dari China dan dipindahkan ke telefon selepas menyambungnya pada komputer melalui pemacu USB.
“Jika telefon itu diubahsuai dengan cara betul, aplikasi itu akan dipindahkan dan diaktifkan tanpa dapat dikesan dan dipadam oleh sistem keselamatan peranti yang dikawal oleh pemerintah.
“Selepas diaktifkan, aplikasi itu akan menyediakan akses kepada pengguna termasuk kawalan penuh ke atas seluruh telefon dan keupayaan untuk menambah, mengubahsuai dan memadamkan mana fail,’’ kata laporan itu.
Laporan itu disediakan sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Lumen yang bekerja untuk menyediakan maklumat tanpa penapisan kepada warga Korea Utara di samping firma keselamatan teknologi maklumat, ERNW.
Sementara itu, orang ramai yang didapati menggunakan aplikasi untuk menyekat program pemerintah pada telefon bimbit mereka berdepan denda antara 50,000 (RM242) hingga 100,000 won (RM484) Korea Utara.
Denda yang dikenakan adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada purata gaji antara 5,000 (RM24) hingga 10,000 won (RM48) di negara komunis itu. – Agensi