KUALA LANGAT – Siasatan awal polis terhadap kematian anak lelaki kepada pelakon Delimawati Ismail di tepi lombong Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini, kelmarin mendapati tiada unsur jenayah.
Zulfazli Jaafar, 45, ditemui selepas polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri berdekatan sebuah universiti itu, kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Saujana Putra bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
Kata beliau, pihaknya dengan bantuan bomba kemudian berjaya membuka pintu kenderaan mangsa.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Putrajaya.
“Isteri mangsa turut berada di lokasi dan menyatakan lelaki itu keluar dari rumah sejak malam Khamis lalu namun masih tidak pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Ridhwan, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Terdahulu, Delimawati yang juga pelakon Hantu Kak Limah menyatakan anaknya ditemui meninggal dunia di dalam kereta oleh isteri sendiri di lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE