SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihati rakyat negeri ini khususnya agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, meskipun rakyat telah dibenarkan kembali menziarahi sanak saudara dan meneruskan budaya kunjung-mengunjung, namun beberapa SOP masih lagi dikuatkuasakan.
“Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat diraikan dalam suasana yang meriah dan harmoni dengan norma-norma baharu.
“Umat Islam khususnya yang pulang ke kampung halaman juga dinasihatkan agar berhati-hati di jalan raya,” katanya hari ini.
Baginda berdua turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor. -KOSMO! ONLINE