WASHINGTON – Syarikat aeroangkasa, Space X mengumumkan bakal menghantar sebuah kotak kapsul masa yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) manusia ke Bulan.
Menurut laporan akhbar Daily Star, tujuan utama kapsul itu dihantar ke angkasa lepas adalah dengan harapan satu hari nanti, makhluk asing boleh membawa pulang ‘asas’ manusia ke Bumi jika kita tiba-tiba telah pupus.
Misi Crew-4 digelar ‘biobank’ itu mempunyai sampel daripada lebih 2,000 orang yang berbeza dan bertujuan membantu memulakan rizab sampel DNA luar dunia di Bulan.
Syarikat yang bertanggungjawab mengumpul DNA tersebut, LifeShip berkata, mereka mahu mengekalkan pelan tindakan genetik spesies di Bumi untuk generasi akan datang dan memastikan ia selamat di luar planet.
LifeShip berkata, misinya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ialah ‘misi demonstrasi’ dengan matlamat jangka panjang syarikat untuk menghantar DNA manusia ke Bulan pada 2023.
“Kapsul masa genetik direka untuk masa depan maka tiada seorang pun daripada kita akan tahu dengan pasti apa yang akan berlaku padanya.
“Mungkin ia akan ditemui oleh tamadun masa depan dan digunakan untuk mencipta semula planet kita seperti hari ini.
“Walaupun ini semua adalah teori, kami percaya ia berbaloi untuk menyelamatkan pelan tindakan genetik kehidupan kami di Bumi untuk beberapa generasi,” katanya.
LifeShip menjemput orang ramai untuk menghantar DNA mereka sendiri ke Bulan dengan membayar AS$100 (RM435). – Agensi