KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Syed Putra, berhadapan Institut Latihan Kemas, dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.15 pagi melibatkan sebuah kenderaan Toyota Caldina yang disyaki terbabas sendiri.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut dari arah Mid Valley menghala Bulatan Sultan Mohamad dan semasa sampai di tempat kejadian dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di kiri jalan.
“Rempuhan menyebabkan lelaki berumur 25 tahun dan bekerja sebagai juruteknik cedera parah pada bahagian kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang tiba di tempat kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Bahagian Operasi Bomba Negeri, Cawangan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 pada pukul 6.05 pagi.
“Pasukan operasi dan jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu dan mangsa berjaya dikeluarkan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE