PENGENDALI import skuad Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengakui, dapat menarik nafas lega apabila pasukannya berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang pada aksi Liga Super di Stadium MB Petaling Jaya kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata berharga hasil ledakan Herlison Caion, Henrique Hyuri dan Yazan Al-Arab, manakala gol saguhati pasukan pelawat dilakukan oleh Nor Azam Azih.
Kata Feichtenbeiner, pasukannya sememangnya berhak untuk mencatat kemenangan selepas menunjukkan aksi dominan seawal minit pertama dengan tidak membuka sebarang ruang dan peluang untuk skuad Tok Gajah melakukan kebangkitan.
“Saya akui, sebelum perlawanan, pemain kami agak tertekan kerana kekalahan yang diharungi sebelum ini. Namun, saya berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan kerana jelas kita menguasai perlawanan sejak wisel permulaan ditiupkan.
“Mungkin ada beberapa kelemahan kerana pada babak pertama kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol berbanding satu gol yang dihasilkan oleh Caion.
“Namun, situasi sedikit berbeza pada babak kedua apabila Pahang berusaha untuk bangkit, tetapi gol ketiga telah menutup peluang tersebut dan kami berhak untuk menang,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, Feichtenbeiner berharap mampu mendapatkan semula khidmat pemain-pemain utama apabila aksi bakal berehat panjang hingga 19 Jun depan.