fbpx

Raya pertama tanpa kesakitan – Elyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELYANA bersama suami, Khairul Anuar serta anak mereka, Cinta Sumayyah (kiri) dan Cahaya Ramadhani. Foto - AFIQ RAZALI

KETIKA ditemu bual tentang perasaan dan persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun ini, jelas terpancar keterujaan pada wajah penyanyi Elyana. Dia berkongsi banyak cerita, hampir semuanya tentang bahagia.

Keterujaan yang dipamerkan itu mungkin sudah lama dipendam dan hanya kini mampu diluahkan. Selama 10 tahun, sambutan hari raya Elyana diselubungi kesuraman, takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ada ketika, perasaan bimbang menguasai fikiran. Dia risau, jangan-jangan, momen tersebut menjadi tahun terakhir lebarannya disambut seisi keluarga ekoran kanser limfoma masih bersarang dalam tubuhnya.

TAHUN ini merupakan tahun pertama Elyana menyambut Aidilfitri tanpa beban sakit selepas 10 tahun kehilangan nikmat tersebut akibat kanser.

Ternyata, kuasa Allah SWT mengatasi segalanya. Selepas disahkan bebas daripada kanser sekitar penghujung tahun lalu, Elyana kembali ceria dan tidak sabar untuk menikmati semula makna Aidilfitri yang lama terikat dalam ketakutan.

“Raya tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini merupakan tahun pertama saya beraya bersama keluarga tanpa merasai beban kesakitan.

“Biarpun saya tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang, tapi yang pasti tahun ini terasa lain sedikit. Saya rasa lega dan lebih bersemangat untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” ujarnya.

Gembira

Kata Elyana atau nama lengkapnya Erneelya Elyana Emrizal, 35, dia berasa begitu seronok apabila tidak lagi perlu memikirkan tentang penyakit kanser yang ditanggung selama ini.

Sambutan hari raya sebelum ini bukannya tidak seronok, tapi hatinya berasa kurang tenang. Sedang bergembira bersama keluarga, tiba-tiba terfikir bahawa dirinya masih seorang penghidap kanser.

“Bila perasaan itu datang, mulalah saya takut hingga hilang selera untuk makan,” jelasnya.

ELYANA pernah hidup dalam ketakutan sehingga tiada selera makan walaupun ketika sambutan lebaran kerana memikirkan tentang penyakitnya.

Disoal apa yang diharapkan pada sambutan Aidilfitri sebagai bekas pesakit kanser, pelantun lagu Niat itu mahu menggembirakan hati anak-anaknya untuk menyambut hari raya bersama-sama.

“Saya mahu anak-anak gembira untuk menyambut raya pada tahun ini. Sebabnya saya sakit, sebelum ini anak-anak tidak begitu merasai nikmat raya, terutamanya anak sulung, Cinta Sumayyah.

“Apabila Cinta tahu saya sudah sembuh, dia minta untuk buat banyak perkara pada hari raya nanti seperti minta pulang ke kampung, memasak juadah raya dan buat kuih. Bila anak bercakap mahu merasai suasana raya, saya rasa sedih,” katanya.

Tradisi

Menyentuh tentang persiapan sambutan hari raya, Elyana sekadar membuat persediaan biasa-biasa. Biar sederhana, namun cukup sempurna sebagai sebuah keluarga.

“Walaupun menyambut Aidilfitri secara sederhana, namun perlu juga ada sesuatu yang baharu. Kalau tidak baju, mungkin benda-benda lain seperti langsir atau perabot,” jelasnya.

Sudah menjadi ‘tradisi’ sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Khairul Anuar Husin, Elyana akan menyambut hari raya di rumah sendiri bersama suami dan anak-anak dan hanya akan pulang ke kediaman ibunya di Shah Alam sekitar waktu tengah hari pada raya pertama.

ANAK-ANAK menjadi keutamaan. Elyana mahu emosi Syawal mempunyai memori indah untuk dikenang suatu hari nanti.

“Kami memang menyambut malam raya di rumah sendiri. Belah malamnya saya akan masak rendang dan jadi ‘jaga’ untuk jiran-jiran yang sudah pun pulang ke kampung masing-masing.

“Hari raya pertama barulah saya akan pulang ke Shah Alam dan menziarahi nenek di Klang dan saudara-mara di Kampung Pandan,” jelasnya.

Tambahnya, tidak adil rasa jika anak-anak tidak berpeluang merasai nikmat menyambut hari raya, sama seperti yang pernah dilalui ketika kecil.

Bagi memberi peluang pada anak untuk merasa suasana raya walaupun bukan cara kampung, Elyana dan suami gigih memasak ketupat dan rendang daging sehingga enam kilogram di luar rumah, sambil anak-anak bermain bunga api.

Nostalgia

“Sekurang-kurangnya dapatlah mereka merasa sedikit sebanyak momen apa yang pernah saya lalui ketika kecil. Walaupun jiran-jiran sudah pulang ke kampung dan suasana sunyi sepi, rumah saya tetap meriah pada malam raya,” jelasnya.

Mengimbas kembali nostalgia raya ketika zaman remaja, setiap kali tibanya lebaran, Elyana akan menerima berkotak-kotak kad ucapan raya daripada peminat.

Bahkan penyanyi itu akan membalas kad ucapan daripada peminat dengan tulisan tangan bagi menghargai kesetiaan mereka.

ELYANA merindui zaman melayan kad raya kiriman peminat dan kunjungan mereka yang tidak putus-putus bertandang ke rumah sehingga lewat malam setiap kali menjelang lebaran.

“Kalau nak tahu, saya juga akan pilih secara rawak 10 peminat dan akan menghubungi mereka untuk ucap selamat hari raya.

“Paling gigih, saya akan cari peminat yang duduk di sekitar Kuala Lumpur dan akan berkunjung ke rumah mereka untuk beraya. Betapa rindunya,” ujarnya.

Umpama membuka lembaran baharu, Elyana berharap Aidilfitri tahun ini dapat mencipta memori terindah untuk dirinya dan keluarga.

Ujarnya, selepas 10 tahun dalam kesakitan, Elyana mahu anak-anak ingat sedikit sebanyak kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

“Saya mahu mencipta memori indah. Mahu lupakan apa yang pernah saya alami dan terus hidup bahagia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI