KEMAMAN – Demi meraih perhatian dan pengikut di media sosial, seorang pemuda sanggup mengambil risiko membahayakan diri dengan naik ke atas bumbung bangunan sebuah pasar raya setinggi 12 meter di bandar Chukai, di sini baru-baru ini.
Perbuatan yang menimbulkan kekecohan dalam kalangan orang ramai yang berada di sekitar pasar raya tersebut dan Hospital Kemaman bertentangan dipercayai dilakukan pada 19 Mac lalu sebelum dimuat naik menerusi akaun TikToknya pada Jumaat lalu.
Mereka yang pada mulanya menyangka pemuda tersebut berniat membunuh diri telah memaklumkannya kepada pihak bomba dan polis.
Niat sebenar pemuda itu bergelak ketawa sepanjang berada di tingkat empat pasar raya berkenaan hanya terbongkar apabila dia memuatnaik video tersebut pada Jumaat lalu sebelum mendapat kecaman netizen.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Mohd. Hasbullah Halipah kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan.
“Semakan kami mendapati kejadian berlaku pada 19 Mac lalu. Kami menerima aduan terdapat cubaan membunuh diri apabila pemuda tersebut dikesan berdiri di bahagian atas bangunan pasar raya berkenaan.
“Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri sebaik enam anggota bomba dan polis tiba untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan,” katanya.
Mohd. Hasbullah berharap pemuda tersebut hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya yang bukan sahaja mengundang bahaya malah menyusahkan pasukan penyelamat. – KOSMO! ONLINE