SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) diarahkan mempertingkatkan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif dan hotspot pencemaran di sepanjang lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, ini berikutan kedua-dua sungai itu menjadi punca bekalan air mentah untuk seluruh negeri Selangor.
Katanya, kerajaan negeri amat memandang serius isu gangguan bekalan air akibat pencemaran seperti di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Peningkatan pemantauan ini bukan sahaja melalui pemantauan lebih kerap di kawasan-kawasan berkenaan, bahkan juga mengambil kira kawasan-kawasan dalam radius yang lebih luas dari LRA.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri ketika ini sedang giat melaksanakan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang menelan belanja melebihi RM300 juta.
Tambah Izham, ini melibatkan empat pakej utama di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang dijangka siap penghujung tahun ini bagi tujuan menyediakan jaringan bekalan air alternatif sekiranya berlaku insiden pencemaran.
Dalam perkembangan lain, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, pemulihan bekalan air telah mencapai 95 peratus hari ini selepas LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi selepas dihenti tugas akibat pencemaran bau semalam.
“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya puku 3 petang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE