fbpx

Jadi ‘hero’ kepada ramai orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jadi yang terbaik hingga buatkan orang lain ikuti dan jadikan inspirasi antara perkara yang anda perlu lakukan untuk menjadi hero.

TINGGAL dua hari lagi untuk umat Islam menyambut hari kemenangan, selepas sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta mengejar amalan ibadah kepada Allah SWT.

Didikan amal di bulan mulia ini perlu diteruskan lagi sepanjang masa, bukannya bermusim.

Sama seperti seorang usahawan berjaya, usaha dan tindakan dilakukan bukannya bermusim sebaliknya secara konsisten dipupuk mencapai matlamat yang telah pun ditetapkan sebelum ini.

Kesempatan ini juga saya ingin kongsikan tentang hero. Anda juga boleh jadi hero walaupun tanpa kuasa luar biasa seperti superhero atau adiwira terkenal macam Superman atau Spiderman.

Hero kepada keluarga, orang di sekeliling dan ramai orang lain.

Tapi apa yang anda perlu buat untuk jadi hero kepada orang lain?

Jadi contoh yang terbaik! Hingga boleh buatkan orang lain nak ikuti, contohi dan jadikan sebagai inspirasi.

Bukan jadi seseorang yang buat orang benci, tak suka nak ikuti atau seorang yang orang laknati.

Bagaimanapun, anda juga perlu sedar bahawa seorang hero, akan ada orang suka dan pasti ada yang tidak suka.

Orang yang tak suka ini mungkin kerana mereka tak kenal anda lagi.

Cabaran mendatang

Namun, sekiranya niat kita betul untuk ‘menyelamatkan’ dan beri manfaat kepada orang, tak mudah untuk anda berputus asa meskipun pelbagai cabaran mendatang.

Lagipun, seorang hero pasti akan ada berhadapan dengan cabaran.

Sebagai seorang hero pastinya apa sahaja cabaran akan mampu diatasi untuk selamatkan orang lain.

Pilihan anda.

Sebab itu, setiap hari bangun pagi kita boleh pilih untuk hidup sebagai hero atau nak jadi seorang yang pentingkan diri sendiri.

Pilihan terletak pada kita untuk jadi yang sebaiknya hinggakan orang lain jadikan kita contoh baik untuk diikuti.

Hatta itu sahaja, kita sudah jadi manusia yang bermanfaat. Bila ada yang lemah, kita kuatkan mereka.

Bila ada yang jatuh, kita bangkitkan mereka.

Bila ada yang pasrah, kita teguhkan mereka.

Kita boleh jadi hero mereka walaupun kita tidak sempurna.

Setiap orang boleh jadi hero!

Pasukan perniagaan

Dalam masa sama, hargailah pasukan yang ada tidak kira anda founder, stokis, ejen, dropship atau pekerja saja. Jangan hanya nakkan orang yang ‘sempurna’ dalam team masing-masing.

Tiada orang yang sempurna kecuali Nabi Muhammad SAW. Setiap orang ada kekuatan, kelebihan dan kelemahannya maka gunakannya untuk sokong satu sama lain.

Selamat Hari Pekerja juga saya ucapkan kepada semua. Tanpa pekerja atau kakitangan, mana mungkin sesebuah bisnes itu dapat berkembang dan pergi ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, kesempatan ini juga saya nak ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam terutama mereka yang pulang ke kampung masing-masing.

Berhati-hati di jalan raya, saya faham keghairahan untuk menyambut lebaran kali ini tetapi bangsa usahawan juga perlu beringat bahawa cabaran selepas raya sebenarnya lebih mencabar, malah boleh menjejaskan bisnes jika tak diurus dengan lebih baik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI