LONDON – Bekas juara Wimbledon, Boris Becker berdepan hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah menyembunyikan aset bernilai jutaan dolar walaupun dia telah diisytiharkan bankrap sejak 2017.
Dia yang juga juara Grand Slam enam kali dari Jerman akan menjalani hukuman selepas Mahkamah Southwark Crown di London mendapati dia bersalah memindahkan sejumlah besar wang daripada akaun perniagaannya.
Becker, 54, gagal mengisytiharkan harta di Jerman serta saham bernilai kira-kira £2.5 juta (RM11.93 juta) bagi mengelak daripada membayar hutang sekali gus didapati bersalah atas empat pertuduhan di bawah Akta Insolvensi.
Kes itu tertumpu kepada kebankrapan Becker pada Jun 2017 akibat daripada pinjaman tidak dibayar lebih daripada £3 juta (RM16.42 juta) ke atas estet mewahnya di Mallorca, Sepanyol.
Hakim Deborah Taylor berkata, Boris tidak menunjukkan sebarang penyesalan berkaitan pertuduhan tersebut, selain dia juga tidak jujur.
“Kamu tidak menunjukkan penyesalan, mengaku bersalah dan menjauhkan diri daripada dakwaan.
“Pada ketika saya menerima penghinaan anda sebagai sebahagian daripada perbicaraan ini, tiada rasa rendah diri yang wujud dalam diri anda.
“Jelas ia adalah tanggungjawab anda (Boris) dan ketika ini masih menyalahkan orang lain,” kata Hakim Deborah Taylor ketika menjatuhkan hukuman.
Pada awal April lalu, Boris didapati bersalah terhadap 20 lagi dakwaan termasuk sembilan membabitkan kegagalan menyerahkan trofi dan pingat dimenanginya sepanjang kariernya.
Becker memberitahu juri dia tidak tahu di mana dua daripada tiga trofi perseorangan lelaki Wimbledon dimenanginya.
– AGENSI