TEMERLOH – Dua beradik warga emas bukan sahaja masih menumpang di balai raya sejak Januari lalu selepas rumah mereka di Kampung Mambang Berulang di sini musnah akibat dibadai banjir akhir tahun lalu, malah lebih menyedihkan apabila mereka tidak mampu untuk membeli pakaian raya baharu.
Bagi Jamaliah Kassim, 71, dan adiknya, Saadiah Kasim, 69, sambutan Aidilfitri kali ini tiada erti buat mereka meskipun ramai orang sedang bergembira untuk meraikan hari raya.
Jamaliah berkata, sambutan Aidilfitri tiada makna kepada mereka yang masih tidak mempunyai rumah dan hidup ala kadar dengan hanya mengharapkan bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Macam mana hendak beli baju raya, kami dua beradik tiada duit walaupun baju yang dijual paling murah kerana duit bantuan habis untuk keperluan makanan supaya kami tidak berlapar.
“Malah, untuk menikmati juadah berbuka puasa yang enak pun janganlah bermimpi kerana kami tiada duit untuk membelinya, lagi pun bazar jauh dan perlu menyeberang jambatan Sungai Semantan yang rosak,” katanya di Balai Raya Kampung Mambang Berulang di sini semalam.
Menurut Jamaliah, dia dan adiknya pasrah tinggal di balai raya, namun berharap agar bantuan rumah baharu dapat disegerakan.
“Kami sangat berterima kasih kepada ketua kampung yang membenarkan kami tinggal di balai raya berbanding tinggal di khemah sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, Saadiah mengakui berasa sedih dan sayu apabila terpaksa menumpang di balai raya ketika hari raya serta tidak mampu membeli pakaian baharu kali ini.
“Saya seperti insan lain yang turut mempunyai perasaan memiliki baju baharu walaupun yang paling murah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Jamaliah Kassim iaitu 06500-41-00007670-2.