DENVER, Colorado – Seekor beruang liar bertindak ganas dengan merempuh masuk sebuah kereta yang ditinggalkan di satu kawasan parkir di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) kerana menghidu bau manis pengilat bibir yang ditinggalkan dalam kenderaan.
Menurut laporan akhbar Daily Star, beruang tersebut sedang berkeliaran di kawasan sekitar untuk mencari makanan dan mungkin terhidu bau manis seperti madu daripada pengilat bibir.
Insiden itu kemudiannya dilaporkan kepada Colorado Parks and Wildlife yang menggunakan Twitter untuk memberi amaran kepada orang ramai.
“Beruang tahu cara membuka pintu kereta. Tiada makanan atau sampah dalam kereta tetapi terdapat pengilat bibir.
“Baunya sudah cukup untuk menarik perhatian beruang untuk melihatnya. Jauhkan ‘tetamu’ yang tidak diingini dari kereta anda dengan mengunci pintu dan tidak meninggalkan apa-apa yang mempunyai bau,” tulis ciapan itu.
Menurut media tempatan, barangan bukan makanan yang tertinggal di dalam kereta termasuk pelindung matahari, balm bibir, krim dan penyegar udara boleh menarik minat beruang untuk cuba menceroboh masuk ke dalam kenderaan.
Beruang juga telah diketahui pandai memecah masuk ke dalam rumah, memusnahkan perabot dan dalaman lain semasa mereka mencari sumber makanan. – Agensi