KOTA BHARU – Keadaan jalan raya di sekitar Kota Bharu mula sesak hari ini selepas perantau pulang ke ibu negeri Kelantan itu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, bagaimanapun, kesesakan itu masih terkawal selepas polis menempatkan anggota trafik di persimpangan lampu isyarat.
Menurutnya, selain itu, seramai 48 pegawai dan anggota polis ditempatkan di empat lokasi panas kemalangan maut di daerah ini iaitu di jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kota Bharu-Pengkalan Chepa, Salor Baru-Pasir Mas dan Binjai-Bachok.
“Berdasarkan pemerhatian, kepulangan perantau merupakan antara punca kesesakan yang berlaku di Kota Bharu. Ditambah pula dengan pertambahan kenderaan yang keluar untuk membeli keperluan sambutan Aidilfitri di sini.
“Polis turut memberi penekanan kepada kesalahan pengguna jalan raya antaranya memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Ops Selamat Peringkat Kota Bharu di pekarangan Mydin Tunjong di sini hari ini.
Tambahnya, kebanyakan lampu isyarat di sekitar daerah ini hanya menunjukkan lampu kuning untuk melancarkan pergerakan trafik. – KOSMO! ONLINE