ISLAMABAD, Pakistan – Lebih satu billion penduduk di seluruh rantau Asia Selatan berdepan fenomena gelombang haba dahsyat yang menyebabkan mereka tetap kepanasan walaupun semasa berteduh, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Suhu di utara India dan Pakistan melonjak kepada 47 darjah Celsius selepas Pakistan merekodkan cuaca bulan Mac paling panas sejak 61 tahun lalu.
Menteri bagi perubahan iklim Pakistan, Sherry Rehman kelmarin meminta kalangan pegawai tempatan untuk bersiap sedia menerima pesakit yang mengalami strok haba di hospital di seluruh negara.
Sherry juga menggerakkan pasukan tindak balas bencana untuk bersiap sedia menghadapi bencana banjir selepas ais dari glasier di Banjaran Himalaya terus mencair pada kadar membimbangkan.
“Asia Selatan terutamanya India dan Pakistan sedang berdepan gelombang haba yang paling buruk. Cuaca ekstrem yang bermula awal April lalu ini menyebabkan orang ramai tercungap-cungap ketika berteduh,’’ katanya.
Kenaikan suhu yang direkodkan adalah antara enam hingga lapan darjah Celsius berbanding suhu purata bermusim.
“Buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad, iklim di Pakistan berubah daripada musim sejuk kepada musim panas tanpa peralihan musim bunga,” jelas Sherry.
Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, suhu di negara itu meningkat dengan pantas dan lebih awal daripada kebiasaan.
Gelombang haba yang melanda telah mempercepatkan pencairan glasier di Banjaran Himalaya, Hindu Kush and Karakoram.
Kira-kira 30 tasik glasier yang muncul akibat gelombang haba baru-baru ini berisiko menyebabkan banjir berbahaya. Seramai tujuh juta penduduk diramalkan terjejas secara langsung, kata pihak berkuasa.
Suhu diramalkan akan turun selepas peralihan monsun yang diramal berlaku pada Mei ini.
Bagaimanapun, suhu 40 darjah Celsius ke atas diramal akan kekal selama beberapa hari lagi yang akan mendedahkan orang ramai kepada risiko strok haba dan masalah kesihatan lain. – Agensi