fbpx

Andi Bernadee tak sabar nak melaram, ronda kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDI BERNADEE

SELEPAS dua tahun meraikan Syawal sebagai anak rantau, penyanyi Andi Bernadee sanggup mengosongkan jadual aktiviti seninya selama seminggu demi kerinduan berhari raya bersama keluarga dan rakan sepermainan di kampung di halaman di Sabah.

Kata penyanyi itu, keterujaan berpeluang kembali melakukan aktiviti kunjung mengunjung juga antara penyebab sebanyak 15 pasang baju Melayu aneka warna dibeli untuk tujuan tersebut.

Antara syukur dan lega, pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile, 31, itu menganggap kepulangan kali ini sememangnya untuk melempiaskan rindu terhadap semua yang disayangi di desa tercinta.

“Memang Syawal kali ini paling dinantikan selepas dua tahun saya beraya di Kuala Lumpur berikutan pandemik Covid-19 yang pastinya emosi sama turut dirasai semua anak rantau.

“Jadi perasaan dapat mencium tangan kedua orang tua di pagi 1 Syawal, berkunjung ke rumah saudara mara dan jiran tetangga sesuatu yang cukup dinantikan semua.

“Saya akan gunakan kesempatan balik kampung untuk meronda sepuas-puasnya. Selain beraya dengan keluarga, saya juga sudah buat perancangan dengan kawan-kawan. Dahulu keluar pagi sampai ke malam. Seronok sungguh pusing sampai ke kampung seberang.

“Kiranya dapat mengimbau kenangan zaman kecil, cuma bezanya sekarang sudah tiada lagi senyuman dan cerita daripada atuk serta nenek yang sudah pergi,” katanya.

Untuk tahun ini, penyanyi Satu Peluang itiu juga buat pertama kali dipilih sebagai hos mengendalikan program Sampaikan Raya menerusi TV3 turut berhasrat mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada raya ketiga.

Kongsi Andi lagi, seperti tradisi tahun-tahun terdahulu persediaan dibuat lebih awal bagi menyambut kehadiran kira-kira 150 jemputan dikalangan orang kampungnya sendiri

“Andai tiada aral kami sekeluarga akan mengadakan rumah terbuka pada 3 Syawal. Biasanya tetamu yang datang dikalangan saudara mara dan kawan sekampung.

“Apabila dua tahun hanya beraya sendiri selain tak dapat buat rumah terbuka yang kumpulkan saudara serta kenalan, kali ini harap majlis berjalan lancar sekaligus merapatkan ukhwah selepas lama tak berjumpa.

“Selain berborak sampai ke pagi, perkara paling saya teringat kalau Syawal tiba adalah kemeriahan bermain badil beramai-ramai terutama pada malam raya,” katanya.

Bercerita pula mengenai program Sampaikan, Andi yang juga antara duta kempen Ramadan Raya Media Prima – Seikhlas Hati mengakui tidak menyangka diberi peluang sebagai hos rancangan yang diikuti sejak lama dahulu.

“Boleh dikatakan hari raya tahun ini saya muncul dalam banyak program termasuk Sampaikan Raya. Ini pengalaman baharu tetapi menyeronokkan dan dalam masa sama menguji saya untuk tampil lebih kreatif.

“Awalnya agak takut dengan penerimaan penonton nanti, namun jika tidak mencabar diri kita takkan tahu sejauh mana tahap kebolehan diri sendiri.

“Sama ada saya akan terus serius dalam dunia pengacaraan itu berbalik kepada rezeki. Apa pun saya kena banyak belajar untuk menjadi hos yang bagus ,” tambah Andi.

Selepas memperuntukkan masa di kampung, dia terus kembali ke Kuala Lumpur bagi menyambung penggambaran drama Melastik ke Hatimu 2.

Selain Sampaikan Raya yang menemui penonton menjelang 1 Syawal, Andi turut terbabit dalam I Can See Your Voice Malaysia dan Master In The House. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI