TAIPEI – Seorang lelaki di Taiwan telah mencipta sejenis peralatan yang membolehkan dia membawa ikan emas peliharaannya keluar bersiar-siar, lapor laman Oddity Central semalam.
Lelaki yang juga pesohor YouTube popular bernama Huang Xiaojie atau Jerry itu berkata, ciptaan kali ini adalah yang paling sukar pernah dilakukannya.
Jerry terkenal sebagai pakar kaedah buat sendiri atau DIY, secara asasnya mengimpal kepingan logam sebagai tapak sokongan tiub akrilik tertutup, meletakkannya pada roda dan menambah pemegang untuk menggerakkannya.
Tiub akrilik itu adalah tangki ikan sebenar dan dilengkapi sistem penapisan berkuasa bateri, pam udara untuk oksigen beserta sistem pencahayaan.
Jerry membawa tiga ekor ikan emasnya keluar bersiar-siar dan selepas ketiga-tiga haiwan itu masih bernyawa ketika pulang ke rumah, dia mengisytiharkan projek itu berjaya.
Peminat Jerry sangat teruja dengan rekaan itu dan berharap agar tangki ikan seperti itu akan dijual di pasaran supaya mereka juga boleh bersiar-siar dengan ikan peliharaan masing-masing. – Agensi